Friday, December 28, 2012

Melihat dunia melalui lensa islam

Salam semua. Salam Jumaat mubarakah sayyidul ayyam...

Apa khabar semua yang membaca? Apa khabar iman kita? Sudahkah kita berterima kasih kepada Allah atas semua nikmat yang Dia berikan kepada kita hari ini. Kalau ada yang mengalami hari yang kurang menggembirakan hari ini, janganlah kita mengeluh kerana insyaAllah apa yang terjadi pada hari ini ada hikmahnya. Mungkin akan ada yang berkata atau bertanya "Apa hikmahnya kalau hari ini kurang seronok buat kita?" Jawapan saya, wallahualam kerana Dia lebih mengetahui. Namun, apa yang perlu kita ingat adalah Allah tidak akan pernah membebankan hambaNya seperti yang dijanjikanNya dalam ayat ini "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya..." (QS 2:286). Jadi insyaAllah apa yang diberikanNya pada hari ini ada hikmahnya.


Lama sudah jari ini tidak menaip. Saya ni bukannya selalu sangat ataupun rajin sangat nak menulis walaupun dahulu, semasa di sekolah menengah, saya amat suka menulis. Mungkin kerana pabila saya meningkat dewasa saya melihat sahabat2 yang sangat hebat penulisannya dan saya merasakan agak inferior untuk menulis. Tapi hari ini hati saya tergerak untuk menulis sesuatu. 

Jadi saya mulakan penulisan ini dengan lafaz Bismillah...Mudah-mudahan apa yang saya tulis hari ini mendapat redhaNya dan memberikan manfaat kepada yang membaca insyaAllah. 

Pippel, G (n.d) taken from http://www.123rf.com

Saya mulakan penulisan saya dengan cerita tentang saya. Saya merupakan seorang pelajar yang sangat sukakan Bahasa Inggeris. Mulanya minat saya dengan Bahasa Inggeris adalah pabila saya melihat cerita "Home Alone" semasa saya berumur 8 tahun. Entah kenapa, minat saya lahir selepas itu. Hal ini ditambah dengan penguasaan Matematik saya yang lemah. Apatah lagi cikgu seringkali menyebabkan saya merasakan bahawa saya memang tidak akan faham Matematik (nota: Kepada cikgu Matematik dan juga kepada semua guru; termasuk saya, kita perlu sentiasa merangsang minat pelajar supaya pelajar tidak merasa bodoh di dalam kelas). Bukan saya ingin mengatakan bahawa cikgu saya tidak pandai mengajar, jauh sekali apa yang ingin saya beritahu di sini. Namun, ketidakadaan minat dalam bidang Matematik (dan seterusnya Sains) menyebabkan saya menjadi bertambah minat kepada Bahasa Inggeris. 

Okay, fast forward ke sekolah menengah. Saya memegang motto bahawa saya merupakan nobody without English. Hal ini kerana saya memang tahu bahawa saya tidak mempunyai minat langsung dalam bidang Sains dan Matematik.Motto ini saya pegang hinggalah saya masuk kolej dan menjejak kaki ke universiti. 

Saya merasakan saya tidak akan punya apa2 tanpa Bahasa Inggeris. Namun, saya tidak bangga dengan apa yang saya ada kerana saya tahu sahabat saya yang lain lebih hebat dari saya. Saya sering menekankan bahawa saya sukakan Bahasa Inggeris namun saya tidak hebat dalam subjek ini. Cumanya, saya masih merasakan bahawa saya tidak akan ke mana tanpa subjek ini.

Namun, tarbiyah (maksud: pembelajaran. lihat lebih lanjut maksudnya di sini:http://menggapaihusnulkhotimah.blogspot.co.nz/2011/01/tarbiyah-islamiyah.html ) yang Allah beri kepada saya mengubah cara saya berfikir.

Bumi New Zealand mengubah lensa mata saya. Di bumi ini saya mengenali apa itu islam yang sebenar. Saya telah ditransformasikan di sini dan di sini saya belajar mencintai agama saya. Banyak yang saya ingin ceritakan dan banyak perubahan yang saya alami. Namun, cukuplah hanya satu cerita di sini buat waktu ini. 

Cerita yang ingin saya kongsikan di sini adalah cerita tentang perubahan saya melihat dunia melalui lensa islam. 

Antara perubahan yang saya dapati adalah perubahan kepada apa yang saya banggakan. Dahulu, semasa saya kecil, saya bangga kepada Bahasa Inggeris; satu subjek yang saya kira mendefinisikan saya. Sekarang, apabila telah menerima tarbiyaNya, bangga saya bertukar. Saya menjadi bangga kepada agama saya iaitu islam. 

Satu persoalan yang ingin saya lontar di sini. Pernahkah terfikir apa yang akan berlaku tanpa agama islam di dalam diri kita? Saya pernah dahulu banyak kali terfikir begitu. Pada zaman dahulu, saya pernah terfikir seronoknya menjadi orang bukan islam (nota: pemikiran ini adalah pemikiran kanak-kanak tidak matang yang tidak tahu betapa istimewanya islam). Saya merasakan bebasnya mereka. Mereka boleh berpakaian dan makan apa sahaja yang mereka mahu. Namun kini, saya gentar apabila memikirkan andainya Allah menarik semula hadiah islam yang Dia kurniakan kepada saya.

Ya Allah, apakah yang akan terjadi kiranya kita tidak punya islam? Ya...mungkin kita akan gembira; hanyut dengan dunia kita kerana banyak nama2 besar dunia bukannya orang Islam dan mereka gembira, mereka kaya...namun, benarkah begitu? Adakah mereka benar2 gembira? Adakah mereka benar2 bahagia? Sedangkan Allah telah berfirman seperti berikut;

Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya. (QS 6:32)

Gembira yang mereka kecapi merupakan gembira yang sebentar sahaja. Sama seperti kita, apabila kita bergurau senda sesama sahabat, adakah kita akan berterusan ketawa tanpa henti hingga kita 'tiada' (aka meninggal)? Saya rasa tidak ada orang yang berterusan ketawa kerana jika ada yang begitu mungkin kita akan memanggilnya sebagai 'wayar putus'. Jadi tawa kita hanya sebentar kerana tiada yang kekal abadi di dunia ini. Semuanya telah Allah jelaskan dalam surat cintaNya kepada kita iaitu al-Quran. 

Beruntung saya di sini kerana Allah memperlihatkan kepada saya apa yang dimaksudkan dengan ayat di atas (QS 6:32). Allah memperlihatkan kepada saya apa yang dahulunya saya banggakan. Allah memberitahu saya bahawa budaya yang dahulunya saya sukai bukanlah satu budaya yang hebat. Apa yang saya kira sebagai bebas bukanlah bebas yang sejati. Apa yang saya maksudkan di sini? 

Apabila saya menjejak kaki di bumi New Zealand, saya melihat budaya hari Jumaat yang diamalkan oleh mat salleh yang dahulu saya kagumi. Budaya minum dan merokok mereka. Melihat mereka terhoyong-hayang mabuk apabila jam menunjukkan pukul 5 petang apabila mereka habis bekerja. Saat di mana semuanya berlumba pergi ke pub dan kedai minum berhampiran untuk 'bersosial'. Sosial yang di mana pada esok paginya menimbulkan sakit kepala yang amat sangat (aka hangover) dan yang paling parah apabila mendapati anda berada di atas katil bersama seorang yang tidak dikenali atau di tempat yang anda tidak tahu. Apakah keseronokan di situ? Apakah yang mereka dapat di situ? Mungkin anda sendiri boleh fikirkan jawapannya. Wallahualam. Saya tidak mendapati keseronokan di situ apatah lagi sebagai seorang islam yang bertudung, saya menjadi sasaran ejekan dan usikan mat salleh yang telah pun mabuk. Secara umumnya, orang New Zealand adalah orang yang peramah dan sangat berbudi bahasa, namum apabila mereka mabuk, semua moral yang mereka banggakan itu hilang begitu sahaja.Jadi semua ini membuat saya terfikir, apakah kebanggaan kita?

Bangga kepada IQ kita? Bangga kerana kita hebat? Bangga kerana kita cantik? Bangga kepada penulisan kita? Semua kebanggaan itu hanyalah sementara. Selepas itu, apa lagi yang boleh kita banggakan? IQ boleh hilang. Albert Einstein, orang yang kita kata pandai, di akhir hayatnya dikatakan gila dan ideanya selepas itu tidak diterima pakai. Elizabeth Taylor yang pada mudanya sangat mengguirkan, akhirnya apabila mati, masih menjadi makanan ulat di dalam tanah. Penulisan akan hilang tatkala munculnya penulis baru. Semuanya hanyalah sementara. Jadi persoalannya, apakah yang boleh kita banggakan?

Bangga kita sekarang hanyalah kepada islam yang ada di dada kita. Namun, berhati2 juga kerana hidayah itu milikNya dan pada bila2 masa Dia boleh menariknya. Wlaupun begitu, kita harus percaya dan yakin kepada sifat PengasihNya di mana kita akan sentiasa diampunkan. Banggalah kita mempunyai islam kerana hanya orang islam yang boleh masuk syurga. Banggalah kita dengan islam kerana islam mengangkat darjat kita seperti dalam surah ini:


"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik." (QS 3:110)

Allah mengangkat darjat kita sebagai umat islam dengan mengatakan bahawa kitalah umat terbaik; namun hanya jika kita benar2 beriman kepada Allah.Jadi apa lagi yang perlu kita banggakan? Nah, Allah telah mengiktiraf kita sebagai yang terbaik dalam surat cintaNya. Pengiktirafan yang saya kira lebih tinggi dari pengiktirafan Raja atau sultan ataupun universiti terkemuka dunia. Ini kerana pengiktirafan dariNyalah yang kita perlu untuk memasuki syurgaNya. Jadi apa lagi yang perlu kita banggakan? Jika nama yang kita kejar, jika pangkat yang kita mahu, apa lagi yang lebih hebat dari ini? Sang Pencipta telah mengangkat kita sebagai umat terbaik. Jadi banggalah dengan islam yang kita ada sebelum ianya ditarik. Nauzubillah minzalik. 

Kelemahan saya sebagai penulis ialah saya selalu meninggalkan karangan saya tatkala pembaca merasakan masih banyak yang saya mahu tulis. Namun, saya merasakan jika saya berterusan menulis, apa yang saya cuba sampaikan tidak akan tersampai. Wallahualam. Jadi saya kira cukuplah di sini saya menulis. 

Alhamdulillah Allah memberi saya penukaran dalam lensa dunia saya yang sebelum ini sempit. Alhamdulillah kerana Dia memberikan peluang saya mengenal dan mencintai islam. Alhamdulillah kerana Dia mengakui saya sebagai umat yang terbaik. Saya ingin meminta semua berfikir sejenak, apakah maksud islam dalam diri anda? Mengapakah anda masih mahu menjadi islam? Apa itu islam buat anda? Apa pentingnya menjadi islam? Semua persoalan itu penting untuk mencari hala tuju anda sebagai seorang islam. Walaupun saya meminta anda mencari maksud anda sebagai seorang islam, naum perlu kiranya saya beritahu bahawa Allah telah memberikan jawapan kepada persoalan di atas di dalam kalamNya. Tujuan kita sebagai manusia dan semuanya akan terjawab dalam surat cintaNya. Jadi kita hanya perlu membacanya insyaAllah.

Saya sudahi penulisan saya pada hari ini dengan kata2Nya:

"Katakanlah: "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (QS 12:108) 

Inilah jalanku dan saya bukanlah dari golongan yang syirik insyaAllah. Tujuan saya cuma menyedarkan semua yang membaca insyaAllah. Maafkan saya andainya penulisan saya kurang tepat dan mungkin menambah kekeliruan dalam diri anda. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang kurang elok itu juga dariNya cuma disandarkan atas kelemahan saya. (P/S: saya berkata demikian kerana tidak akan belaku apa2 di dunia ini tanpa izinNya). 

Sekian. Assalammualaikum. 

Saturday, July 14, 2012

Update Terkini

Assalammualaikum...

Apa khabar semua? Apa khabar badan kita? Apa khabar iman dan jiwa kita?
Harap semuanya sihat dan bertambah mantap.

Alhamdulillah...Masih bernafas pada hari ini. Masih sihat dan dikurniakan rezeki dan masih berada di bawah cintaNya. Alhamdulillah atas semua kurniaanNya hari ini.

Bismillah...

Lama benar jari ini tidak menaip di papan kekunci komputer riba ini...Rasa rindu pula. Namun pabila jari ini ingin menaip, urusan datang bertimpa-timpa, ditambah dengan rasa malasnya...hmmm...jadi tidak terisilah blog ini. Namun rindu pula untuk menaip, apatah lagi kerinduan untuk menulis sesuatu yang bukan akademik hadir secara tiba-tiba...Mungkin kerana lusa kelas akan bermula semula. Jadi sebelum terpaksa menaip, saya kira, baiklah saya menaip sesuatu yang saya suka. 

Sudah hampir setengah tahun tidak menaip. Mungkin kerana saya ini orang yang suka bercakap dari menulis jadi pabila ingin menulis, kadang-kadang terasa buntu. Saya pula orang yang jenis ideanya tidak tetap. Jadi bertambah-tambah sukar tugas menulis. Namun semasa di sekolah rendah dan menengah dahulu, saya amat suka menulis. Pada  masa itu saya merasakan bahawa saya kreatif (hehe...fikiran yang belum matang pada masa itu), namun semangat itu saya kira agak luntur tatkala melihat penulisan teman-teman yang saya kira lebih hebat dari saya. 

Walaubagaimanapun, saya rasa semua ada logam (kehebatannya) yang tersendiri. InsyaAllah. Namun begitu, kadang kala saya merasakan bahawa pabila saya menulis, saya terasa tenang. Saya selalunya hanya akan menulis perkara yang pendek-pendek seperti puisi yang tidaklah hebat pada fikiran saya tetapi boleh menyebabkan saya merasa tenang. 

Baiklah, kita hentikan sekejap apa yang saya bicarakan ini dan teruskan kepada topik utama blog ini. 

Apa yang telah saya lalui sepajang setengah tahun 2012 ini? 

1. "anak" kesayangan 
Yeap. Saya ada anak sekarang. Anak? Tidak...Saya bukan sudah berkahwin (doakan saya ya agar jodoh saya cepat *blushing*), namun ya, saya sudah punya anak. Ish, buat suspen pula saya ini kan? Anak kucing la. hehe. Oleh kerana sepanjang musim cuti panas saya agak tertekan kerana keseorangan, jadi saya bulat tekad untuk membela seekor kucing. Ini merupakan kali pertama saya membela kucing jadi agak gementar untuk membelanya, namun, alhamdulillah, bolehlah dikatakan berjaya.

Sesungguhnya, membela anak kucing amatlah menduga dan menguji saya. Tambahan pula anak saya ini sangatlah aktif dan pada awalnya macam-macam dugaan yang saya dapat. Sabar memang merupakan salah satu dari perkara yang Dia uji untuk membela haiwan yang manja ini. 

Hingga kini saya masih lagi diuji dengan kesabaran. Namun begitu, teringat pula ayat-ayat cintaNya mengenai kesabaran iaitu;

"Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik" (70:5)

Sabar ini besar nikmatnya dan sabar disebut berkali-kali dalam al-Quran. Allah juga menyukai orang yang sabar. Namun begitu, sabar ini sangatlah sukar untuk dilaksanakan. Tetapi, ianya tidak mustahil. Jadi muhajadah kita pada hari ini? Marilah kira bersabar dengan sabar yang baik. Yosh!

Okay...Mari saya bercerita sedikit tentang anak saya yang lasak ini.

Namanya Onyx dan sekarang dia berusia hampir 5 bulan. Warnanya kelabu keputihan dan badannya panjang. Beratnya kini baru 3.57kg. Ringan kan? Mungkin kerana dia sangat aktif, jadi beratnya agak susah untuk naik walaupun makannya amatlah banyak. Gambarnya?




Kacak kan? Dia sangatlah comel dan sejak akhir-akhir ini, lasaknya makin kurang dan manjanya bertambah-tambah. Mungkin kerana dia sudah semakin matang. Jadi makin manja pula jadinya. 

Hmm...matapun sudah makin berat kerana sekarang sudahpun masuk tengah malam. Jadi baiklah saya berehat sejenak sebelum menyambung hari keesokannya jika saya masih diberikan peluang untuk bernafas lagi. 

InsyaAllah saya akan cuba sambung cerita saya sepanjang ketiadaan saya selama hampir enam bulan di blog ini. 

Sehingga kita ketemu lagi insyaAllah dan marilah kita cuba bersabar kerana "...Allah beserta orang-orang yang sabar" (6:88)

InsyaAllah.