Friday, September 10, 2010

Perlukah menangis di Hari Raya?

Salam...

1 Syawal sudahpun menjelma semalam. Jadi sebelum saya memulakan entry yang mungkin agak panjang (bergantung pada keadaan mood), saya ingin mengucapkan,
Maaf Zahir dan Batin atas kesilapan saya, jika andainya kata-kata saya mengguris rasa, intonasi saya menyebabakan ada yang terasa...

Halalkan makan minum saya, hutang-hutang jika ada
Saya pun ingin memaafkan semua atas apa-apa jua kesilapan yang pernah dilakukan samada sengaja atau tidak
Amin...

1 Syawal semalam merupakan kali pertama saya beraya di perantauan dan tidak pulang ke rumah. Teringat pada 28 Ramadhan, bersamaan 9hb September 2010 di mana saya telah pun turun untuk tarawikh tetapi mendapati bahwa tiada sesiapa pun di situ kerana semua masih menunggu berita dari FIANZ (Federation of Islamic Association New Zealand) untuk mengumumkan tarikh Aidil Fitri. Iyalah, kami di sini bukan macam Malaysia di mana pengumuman dibuat melalui siaran television. Kami hanya menggunakan perantaraan Internet untuk mengetahui hal-hal seperti ini. Jadi semua rakan-rakan yang lain sibuk meng'refresh' page FIANZ untuk mengetahui pengumuman raya kerana Australia yang memulakan puasa sama seperti New Zealand telah pun mengumumkan yang raya mereka sama seperti Malaysia iaitu pada 10hb September. Walaupun telah ada rakan-rakan yang mendapat SMS yang mengatakan raya kami sama seperti Malaysia, namun ramai yang tidak yakin dan menunggu kata putus FIANZ. Pabila saya mendengar bahawa raya sama seperti Malaysia, hati saya hiba secara tiba-tiba. Kenapa saya rasa demikian, anda boleh check entri sebelum ini yang bertajuk Ramadhan.

Berbalik kepada entri ini; perlukah menangis di hari raya atau 1 Syawal? Mengapa saya bertanya soalan ini? Sebenarnya, ada yang bertanya, perlukah menangis sedangkan hari raya merupakan hari kemenangan orang Islam selepas sebulan menahan hawa nafsu dan beribadah kepada Allah. Jadi kiranya 1 Syawal perlu dirai dengan kegembiraan. Ya, saya akui semua itu kerana kegembiraan Syawal sudah pasti. Saya gembira dengan Syawal. Namun pada fikiran saya, perlulah ada sedikit kekesalan atau kesedihan. Sekurang-kurangnya kesedihan itu adalah kerana kita sayu Ramadhan akan meninggalkan kita.

Sayu yang seterusnya pada pendapat saya ialah sedih apabila meminta maaf kepada kedua ibu bapa kita. Memang, memohon maaf pada hari raya adalah budaya kita semata-mata. Tidak pernah ada hadis, dalil, mahupun ayat al-Quran yang mengatakan bahawa kita perlu meminta maaf kepada ibu bapa kita pada hari raya, kerana pada hari-hari lain pun boleh juga meminta maaf. Namun tradisi ini pada saya tidaklah salah. Mungkin tradisi ini wujud kerana pada hari raya, semua orang (satu keluarga) akan berkumpul di bawah satu bumbung. Jadi pada anak-anak atau kaum keluarga yang jarang berjumpa kerana kesibukan masing-masing boleh bertemu rupa di hari mulia ini. Jadi pada hari itulah semua orang boleh bermaafan dan bergembira kerana semua telah pun ada di satu tempat yang sama.

Kalau kita memohon maaf pada ibu bapa kita, mesti lah ada perasaan di mana kita teringat salah-silap kita dari kita kecil hingga lah kita besar. Saya bukan orang yang baik, saya akui hal itu. Saya masih lagi mengata 'tidak'. terbuat muka atau mendengus pabila saya marah kepada ibu bapa saya. Saya tahu saya banyak kecilkan hati mereka, jadi apabila saya memohon maaf, tidak malu saya katakan, saya menangis bagai anak kecil. Saya tidak tahu jika ada antara kita yang tidak sebak apabila meminta maaf kepada kedua orang tuanya. Mungkin ada. Mungkin mereka tidak menangis kerana mereka acap kali meminta maaf andainya mereka membuat kesilapan kepada ibu bapa mereka. Wallahualam. Tapi pada saya, sebaknya masih terasa tambah-tambah lagi kerana saya tiada di sana pada hari mulia itu. Saya rindukan mereka, rindu memeluk dan mencium mereka kerana saya tidak tahu sempatkah saya berjumpa mereka lagi. Saya tidak tahu bilakah mereka atau saya akan pergi dahulu kerana semua itu suratanNya. Jadi saya sedih memikirkan hal itu. Namun begitu, saya tidaklah bermaksud untuk mengatakan bahawa semua perlu menangis pada hari itu dan tidaklah pula saya mengatakan orang yang tidak menitiskan air mata itu 'keras' dan tidak berperasaan. Tidak. Saya cuma ingin berkongsi apa yang saya rasakan. Itu sahaja.

Jadi, entri ini tidak bermaksud untuk mengata atau menuding jari pada siapa-siapa pun. Tidak. Saya cuma mahu berkongsi. Itu sahaja. Jadi pada siapa yang terasa, maafkanlah saya. Saya tiada niat untuk menyebabkan sesiapa pun terasa.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua.
Rindu pada semua (ignore my ugly editing)

P/S: waah...sangat skema entri aku untuk kali ini, siap guna 'saya' dan tidak ada singkatan perkataan. (-_-"). Mood raya la katakan... (^_^")

1 comment:

the baloney said...

gosh. it took me forever br dpt jumpa blog ni. haha. siot kan?

anyway, xpe. dah jumpa. now boleh bc selalu :)